Thursday, April 30, 2009

Isteri Ketua Menteri Sarawak Meninggal Dunia


KUCHING 29 April - Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada pukul 3.40 petang ini di kediaman mereka di Demak Jaya di sini akibat kanser.

Laila, 68, meninggalkan suami dan empat anak termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman serta 15 cucu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani dalam kenyataannya memberitahu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya pada pukul 11.30 pagi esok.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menziarahi jenazah Allahyarham boleh berbuat demikian sebelum pukul 11 pagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dalam lawatan rasmi dua hari ke sini turut menziarah jenazah Allahyarham petang ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng serta isteri Toh Puan Norkiah Abdullah turut menziarah.

Laila dilahirkan di Poland pada 1 Mac 1941 dalam sebuah keluarga Islam dan nama remajanya ialah Lejla Chaleck.

Kerja-kerja amal Laila bermula pada awal 1953 ketika Allahyarham belajar di Sekolah Tinggi Perempuan Adelaide, Australia dan berterusan ketika bergelar siswi perubatan di Universiti Adelaide pada 1959.

Allahyarham berkahwin di Adelaide pada 13 Januari 1959 ketika Abdul Taib mengikuti pengajian ijazah undang-undang. Allahyarham tiba di Sarawak pada 1962.

Semasa sambutan ulang tahun ke-50 perkahwinan mereka di sini 13 Januari lepas, Abdul Taib berkata, Laila adalah tunggak kekuatan dan sumber inspirasinya.

Beliau mengakui bukan mudah untuk seseorang wanita menjadi isteri kepada orang politik.

"Laila memainkan peranan utama hingga menyebabkan saya mampu mengemudi kehidupan saya,'' kata beliau.

Isteri Ketua Menteri Sarawak itu seorang yang aktif dalam kerja amal dan menyertai banyak badan kebajikan di negeri ini.

Allahyarham merupakan pengasas dan Presiden Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (Sabati) sejak 1982 dan Penaung Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) sejak 1993.

Selain itu, Allahyarham juga adalah Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib membuktikan minatnya membantu pesakit yang memerlukan.

Sebagai mengiktiraf penglibatan aktif dalam kerja kemasyarakatan, beliau dianugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk Seri pada 1988.

[ Sumber Utusan Malaysia ]

Sunday, April 26, 2009

' QTC 2009' Ke Arah Pemimpin Berilmu dan Bertaqwa

QTC 2009 permulaan untuk peserta menjadi pemimpin berilmu dan bertaqwa

Mesyuarat akhir bersama Unit Pendidikan Islam Ustaz Ubaidillah
dan Ketua Panitia Pendidikan Islam


26 April 2009 - Bintulu, Selama 3 hari 2 malam kami berkampung di Kelab Kidurong Bintulu untuk melaksanakan tugasan amal iaitu Qiyadah Training Course 2009. Program yang dianjurkan Jawatankuasa Kecemerlangan Sahsiah & Akademik ini melibatkan pimpinan pelajar di sekolah-sekolah menengah di Bahagian Bintulu.

Taklimat pelaksanaan bersama guru pengiring dan urusetia

Taklimat kepada para peserta oleh Kem Komandan sebagai aktiviti pertama

Objektif program yang bertujuan untuk membimbing bakat kepimpinan yang ada telah melahirkan insan-insan yang intelek lagi bertaqwa untuk memimpin. Kemuncak program ini, mereka pulang ke sekolah masing-masing dengan menubuhkan Persatuan Pelajar Islam untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang bercorak keagamaan yang bertujuan untuk menjadikan biah solehah di sekolah masing-masing.

Khemah dipasang untuk penginapan para peserta QTC 2009.
Mungkin pengalaman pertama oleh sesetengah peserta


Melatih bakal pemimpin menjadi pemimpin bertaqwa dengan
membiasakan bersolat jamaah

Pelaksanaan program yang lancar turut dibantu oleh tenaga jurutera dari Petronas dan Shell , telah menyedarkan pelajar betapa mereka perlu berusaha untuk berjaya. Moga-moga ilmu yang telah diperolehi selama 3 hari 2 malam bersama QTC ini dapat membantu dan membimbing mereka ke landasan yang sepatutnya mereka lakukan. Pihak AJK berdoa agar mereka diberi kekuatan dan keistiqamahan untuk merubah diri ke arah yang lebih baik untuk menjadi orang yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Insyallah.

Pihak urusetia juga tidak ketinggalan untuk makan bertalam sebagai
mengguatkan ukhuwah sesama


Selaku setiausaha program, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama membantu dan menyumbang tenaga samada secara langsung atau tidak. Kepada Panitia Pendidikan Islam, teruskan usaha untuk mengawal mereka yang telah dilatih untuk menjadi pimpinan dan contoh kepada rakan - rakan mereka yang lain.

Post mortem harian bersama urusetia, waktu ketika ini pukul 12.30 malam

Penghargaan kepada Ustaz Khalipah Juli dan Tuan Haji Kadir Jaya selaku penasihat, semua Ketua Panitia sekolah-sekolah menengah Bintulu, HRM Petronas, Bintulu Iqra' Center, semua urusetia dan semua para peserta. Ampun maaf ada salah silap, yang penting kerjasama patut diteruskan lagi untuk masa akan datang.

Akhi Muhtar Suhaili, sanggup datang beratus KM dari Miri untuk
menjayakan program QTC 2009, terima kasih sahabat.

Tidak dilupakan akhi Muhtar Suhaili, Jurutera Shell dari Miri yang sudi mengisi slot yang nampaknya amat memberi kesan terhadap penyampaiannya. Untuk Muhtar, maaf kerana tidak dapat bertegur sapa kerana kesuntukan masa dan kesibukan dengan pertembungan program di tempat lain.

Menggalakkan bersama di dalam setiap aktiviti yang dijalankan

" Tingkatkan AMAL, Terus ISTIQAMAH untuk ISLAM "

Saturday, April 25, 2009

Kes 'maid' dera budak

{Berikutan video yang saya paparkan beberapa hari yang lalu, ramai yang bertanya saya tentang kesudahan isu itu, di sini yang post laporan akhbar untuk tatapan kita bersama }

Moga jadi pengajaran dan berhati - hati.

Amah pijak anak majikan kena 2 tahun

Berita Harian 3 Nov 2007
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menolak, menendang dan memijak anak perempuan majikannya yang berusia tiga tahun, Ogos lalu.

Majistret Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Reni Neken, 27, dari Kupang, Indonesia, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap, 30 Ogos lalu.

Reni didakwa mencederakan Goh Ceng Yee, 3 tahun, di ruang tamu rumah mangsa di No A2-27-08, Putramas 2 Condo, Jalan Kuching di sini, jam 3.25 hingga 3.40 petang, 28 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa yang dipijak di bahagian perutnya oleh tertuduh sering mengadu kesakitan, namun apabila ditanya punca dia enggan menjawab.

Reni bagaimanapun, hanya memberi alasan mungkin kerana mangsa terlalu banyak mengambil minum ‘yogurt’. Bapa mangsa yang mengesyaki sesuatu kemudian mengambil keputusan untuk memasang video kamera tertutup di ruang tamu rumahnya.
Hasil daripada rakaman itu, ibu bapa mangsa mendapati anak mereka didera dengan teruk dan membuat laporan polis.

Wednesday, April 22, 2009

Tersentuh hati ku hari ini

Kes pertama : Sewaktu melayari internet pada pagi tadi, terjumpa satu website yang amat menyentuh perasaanku bila melihat aksi orang gaji yang mendera seorang budak. Saya tidak sanggup melihat adengan tersebut sehingga selesai. Bayangkan kalau anak kita, nauzubillah. Beringatlah kepada ibubapa yang terpaksa mengaji 'maid ' sebagai pembantu rumah. Isteri saya juga melihat perlakuan demikian dengan linangan airmata. Rupa-rupanya di rancangan 360 yang ditayangkan setiap hari rabu telah dimaklumkan berkenaan isu ini, dan akan ke udara pada minggu hadapan.



Kes kedua : Terkejut dan hampir tidak percaya bila mendengar aduan rakan sekerja yang mengatakan emak seorang murid saya yang memanggilnya dengan panggilan monyet. Malang sungguh nasib murid saya ini. Ketahuilah, sungguhnya perkataan seorang ibu itu akan menjadi doa. Apa tindakan kami ? Sekiranya benar hal ini berlaku, saya akan berjumpa dengan ibunya dan akan menerangkan tindakannya salah.

Kes ketiga : Seorang murid saya tahun 5 yang didatangi oleh ayah nya yang berbangsa cina yang masih belum memeluk Islam ingin berjumpa dengannya. Mengikut maklumat yang diperolehi daripada anak ini, yang dia amat jarang bertemu dengan ayahnya kerana tempat kerja ayahnya yang jauh iaitu di Kuala Lumpur, dan boleh juga saya andaikan, tak berapa kenal dengan ayahnya. Saya pernah memanggil ibu dan anak-anaknya di dalam bilik GB untuk mendengar kepastian dakwaan anaknya yang ibunya ikut sembahyang di gereja. Namun demikian dinafikan oleh ibunya sehingga anak-anaknya dimarahi di depan kami dengan perkataan yang tidak patut dilafazkan oleh seorang ibu.

Subhanallah, apa nak jadi dunia kini. Sifat keibuan sudah semakin luntur di dalam diri seorang perempuan bila mana persekitaran masyarakat yang tidak kisah soal halal dan haram. Kami berdoa agar fitnah dunia tidak terkena kepada kami. Mohon pada Allah agar dijauhi perkara ini.

Sunday, April 19, 2009

AKTIVITI TERKINI : QTC 2009

Tempoh seminggu lagi, sebelum tarikh program akan dilaksanakan. Ketika ini kami sedang berkampung di rumah Ierfan untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih belum siap.

Kepada sahabat -sahabat yang ke Miri, maaf kami tak dapat bersama, ada tugasan yang perlu diselesaikan. Kami doakan kalian akan mendapat natijah yang terbaik atas aktiviti pada pagi ini dan didoakan selamat pulang ke Bintulu semula.

" Terus ISTIQAMAH untuk ISLAM "

Saturday, April 18, 2009

PENYELIAAN PRAKTIKUM BERAKHIR

ألســـــــلام عليكم

Sebenarnya, saya adalah guru pembimbing untuk menyelia guru pelatih Ustazah Sabariah Othman ( guru j-QAF kohort 2008 ). Setelah 9 minggu melalui tempoh berpraktikum, baru selesai semalam iaitu pada 17 April 2009. Untuk guru pelatih, mungkin rasa dah lega sebab tak perlu diselia lagi selepas ini, tapi bagi guru pembimbing perlu menghantar laporan penyeliaan beserta dengan markah yang akan menentukan gred guru pelatih. Barangkali perlu datang ke IPS Miri dalam waktu terdekat. Terpaksa lagi 'outstation'. Apa pun, saya mengucapkan terima kasih kepada guru pelatih di atas kerjasama yang diberikan, semoga maju jaya di dalam usaha untuk menjadi guru sebenar. Sebagai guru pembimbing yang belum ada pengalaman sudah tentu rakan-rakan JU ( Ustaz Mior ) dan Ustaz Nazri yang saya rujuk melalui blog mereka. Mereka lebih banyak maklumat dan pendedahan terkini dari Institut perguruan di tempat mereka. Buat pentadbir sekolah, terima kasih kerana memberi pengalaman yang amat berharga ini, benar, pengalaman itu menjadi guru yang terbaik buat diri ini. Syukur atas nikmat ilahi.

Terus ISTIQAMAH untuk ISLAM

Walaupun menjadi guru pelatih, tetapi tuntutan tugas tidak mengenal status maksud guru pelatih.
Barangkali disebabkan ijazah yang diperolehi dari Mesir menyebabkan beliau diletakkan
sebagai salah seorang hakim sewaktu MTQ Bahagian Bintulu, baru-baru ini.
Apa pun, redha dan carilah kesempatan dan peluang untuk membuktikan kita
mampu melaksanakan tugas dan amanah ini. Selamat maju jaya.

Thursday, April 16, 2009

PELANCARAN DANA SURAU AL-AZHAR

Pengerusi majlis yang cemerlang " Ustaz Muzakkir @ Ust K "

Malam ini ( 16 April 2009 / 20 Rabiul Akhir 1430 H ) telah berlansung Majlis Pelancaran Dana Surau al-Azhar, Ulu Kota Pakan ( UKP ) di Masjid Bahagian Bintulu, Masjid Assyakirin. Bilangan kehadiran jemaah mencecah lebih daripada 100 orang. Terima kasih kepada semua ajk yang terlibat. Semoga Allah mengurniakan ganjaran kepada kita semua di atas pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit.

Aktiviti pada malam ini dimulakan dengan ucapan wakil Masjid Assyakirin iaitu Tuan Haji Hamdani Bin Kasah selaku Imam Masjid Assyakirin. Kemudian diikuti dengan siri penerangan ringkas tentang gambaran kehidupan Masyarakat UKP yang telah disampaikan oleh Ustaz Abd Halim Abd Kadir yang mewakili AMAL Sarawak. Selepas itu tayangan montaj dan diakhiri dengan pelancaran dana masyarakat Islam Ulu Kota yang telah disempurnakan oleh pegawai tadbir merangkap bendahari Masjid Assyakirin iaitu Tuan Haji Bakeri Hj Yusof. Alhamdulillah, kutipan dari jamaah Masjid Assyakirin pada malam ini berjaya dikumpul sebanyak RM 2551.00. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan untuk turut serta untuk menyumbang bagi menjayakan misi ini. Tahniah pada semua. Teruskan usaha ini.

Pihak ahli jawatan kuasa merakamkan setinggi-tinggi ucapan alhamdulillah dan jazakumullahukhairan khathiran di atas sumbangan dan sokongan para jemaah di Masjid Assyakirin. Semoga dengan penerangan yang telah disampaikan oleh Ust Abd Halim tadi akan dapat memberikan kepada kita tazkirah tentang nikmat yang telah dikurniakan kepada kita.

Selaku AJK Jawatan Kuasa Pembelaan Saudara Kita, kami berdoa agar terus diberi kekuatan untuk menjayakan misi ini sehingga tercapai objektif dan matlamat. Mudah-mudahan Allah memudahkan usaha kami ini. Insya Allah.

Kepada sesiapa yang tidak membawa duit pada malam ini, tetapi berminat untuk menyumbang, boleh terus masukkan duit di dalam akaun Bank Muamalat Malaysia Berhad. No akuan " 110 3000 7659 728 " atas nama JAWATANKUASA PEMBELAAN SAUDARA KITA. Bersama membantu meringankan kesusahan mereka. ' Terus ISTIQAMAH untuk ISLAM. AYUH ... ringankan tangan

Kehadiran para jamaah yang memberi sokongan

Ustaz Abd Halim Abd Kadir, Tim. Pengerusi AMAL Sarawak
sedang menyampaikan siri penerangan masyarakat UKP

Tuan Haji Bakeri Haji Yusof sedang memasukkan duit derma
sebagai pelancaran Tabung UKP di Masjid Assyakirin

Ustaz Lofti sedang bertugas mengerakkan tabung kutipan derma

AJK bersama pegawai Masjid Assyakirin

Jamuan diakhir program. Sesunggunya program ini mentarbiah jamaah
merasai kesusahan orang lain melalui derma. Alhamdulillah

Cikgu Let@Lutfi sebagai AJK gambar malam ini, terima kasih atas sumbangan.

PELANCARAN DANA SURAU ULU KOTA

JEMPUTAN KE

MAJLIS PELANCARAN
DANA PEMBINAAN SURAU AL - AZHAR, ULU KOTA PAKAN

PADA
16 APRIL 2009 ( KHAMIS MALAM JUMAAT )

DI
MASJID ASSYAKIRIN, BINTULU

MASA
7.00 MALAM ( SOLAT MAGHRIB BERJAMAAH )

DIPOHON
MEMBAWA BERSAMA DUIT UNTUK DERMA

ANJURAN
JAWATANKUASA PEMBELAAN SAUDARA KITA
MASJID ASSYAKIRIN
MASJID DARUL HIDAYAH
AMAL SARAWAK
BINTULU IQRA CENTER

KEHADIRAN AMAT-AMAT DIALUKAN
UNTUK MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN.


MARI BERSAMA KAMI MEMBANTU SAUDARA KITA

Monday, April 13, 2009

HIMPUNAN KELUARGA ' AMAL BINTULU '

Cuti umum sempena 'Good Friday' pada hari Jumaat yang lepas telah dimanfaatkan oleh kami untuk bercuti bersama-sama keluarga di Villa Mardiah, Bintulu. Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah silaturahim di kalangan ahli keluarga BIC.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah :
1) Sukaneka
2) Belajar memasak ( kali ini nasi dagang dan keropok lekor )
3) Taaruf
4) Tazkirah dan ceramah
5) BBQ
6) Riadah dalam kolam renang
7) Qiamullail

Walaupun program ini tidak lama iaitu hanya 1 hari 1 malam, tapi kemeriahan amat terasa kerana mereka dapat bertukar-tukar ilmu pengetahuan, pendapat dan sebagainya. Yang tak kenal, boleh berkenalan di antara satu dengan yang lain.

Kami tidak dapat tidur pada malam itu, kerana saya bersekolah ganti pada keesokan harinya iaitu pada hari Sabtu. Perkara yang paling diingati semasa program ini ialah, Ierfan mandi di dalam kolam renang hampir 1 jam lebih. Susah pula tu dia nak naik, sampai kena paksa.

Apa pun kami harapkan agar program sebegini akan diadakan lagi, kalau dapat buat selalu, tak perlu setahun sekali. Mengikut kesesuaian masa.

Thursday, April 9, 2009

MTQ BINTULU

Aidatul Asma, Ayyub dan Aufa, yang mengharumkan
nama SK Orang Kaya Mohammad.Aidatul Asma dan Aufa
akan mewakili Bintulu untuk peringkat negeri yang akan
di Sibu pada 28-30 April 2009. Tahniah kepada mereka,
teruskan usaha.....

Hari ini 09 April 2009 bersamaan 13 Rabiul Akhir1430H telah berlangsung Majlis Tadarus al-Quran ( MTQ ) peringkat Bahagian Bintulu. Program yang telah diadakan di SMK Bandar telah menyaksikan bakat-bakat baru berjaya diketengahkan untuk mewakili Bahagian Bintulu untuk MTQ peringkat negeri yang akan diadakan di Sibu pada 28-30 April 2009 nanti.

Berikut adalah senarai keputusan MTQ 2009 peringkat Bahagian Bintulu.

Peringkat sekolah rendah :
1) Acara hafazan ( L ) ( P )
Johan : Muhamad Israf Mohamad Jaafar ( SK Agama MIS )
Naib Johan : Mohd Afiq Hazizi Mohd Hamidi ( SK Kidurong )
Ketiga : Ayyub Abd Rahim ( SK Orang Kaya Mohammad )

Johan : Aidatul Asma' Mohd Hasbullah ( SK Orang Kaya Mohammad )
Naib Johan : Nur Amirah Fatimah Kadir ( SK Bintulu )
Ketiga : Siti Fatimah Pati ( SK Agama MIS )

2) Acara Tilawah ( L ) ( P )
Johan : Mohammad Shahazizan Sahari ( SK Agama )
Naib Johan : Abdul Qayyum Mahidin ( SK Kidurong 2 )
Ketiga : Mohd Nurfathullah Osman ( SK Jepak )

Johan : Aufa Abd Rahim ( SK Orang Kaya Mohammad )
Naib johan : Nurdalili Ismail ( SK Pandan )
Ketiga : Iffah Najihah Abdul Irham Mudin ( SK Kidurong 2 )

3) Bercerita kisah al-Quran (L ) ( P )
Johan : ?
Naib johan : Aiman Ezmill Jabri ( SK Jepak )
Ketiga : Mohd Hafizuddin Tani ( SK Jepak )

Johan : Mirzatul Akmal Hanin Mohd Amir ( SK Jepak )
Naib johan : Nur Nabil Nadhira Muhammad Ibrahim ( SK Agama MIS )
Ketiga : Shafina Mohd Takip ( SK Bintulu )

4) Nasyid
Johan : SK Jepak
Naib johan : SK Agama
Ketiga : SK Bintulu

5 ) Kompang Salawat
Johan : SK Agama
Naib johan : SK Kidurong
Ketiga : SK Bintulu

Peringkat sekolah menengah :
1) Acara hafazan ( L ) ( P )
Johan : Muhammad Fikri Abd Rahim ( SMK Kidurong )
Naib Johan : Mohd Amirul Adli Haji Kadir ( SMK Baru )
Ketiga : Muhammad Zulhilmi Arbi ( SM Teknik )

Johan : Dewi Puspa Mohd ( SMK Kidurong )
Naib Johan : Nuratikah Umar ( SMK Bintulu )
Ketiga : Syamimi Izni Mohd Jasni ( SMK Bandar )

2) Acara Tilawah ( L ) ( P )
Johan : Mohd Afqar Baharin ( SMK Kidurong )
Naib Johan : Mohd Shafiq Mohd Yusof ( SMK Bintulu )
Ketiga : Mohd Saifuddin Mohammad ( SM Teknik )

Johan : Aida Zuria Drahman ( SMK Bintulu )
Naib johan : Nuramiza Arabian ( SM Teknik )
Ketiga : Khatijah Abdullah ( SMK Asyakirin )

3) Nasyid
Johan : SMK Kidurong
Naib johan : SMK Bintulu
Ketiga : SMK Baru

4) Syarahan
Johan : Abdul Wail Bejuri ( SMK Kidurong )
Naib johan : Nadzirul Akmal Mohd Hamzah ( SM Teknik Bintulu )
Ketiga : Hairol Rhamdan Haron ( SMK Tatau )

Johan : Juliana Jaini ( SMK Baru )
Naib johan : Nurizan Othman ( SM Teknik Bintulu )
Ketiga : Nurshaqina Mohd Sufian ( SMK Asyakirin )

5 ) Berzanji Marhaban
Johan : SMK Bintulu
Naib johan : SMK Kidurong

6) Kuiz Agama
Johan : SMK Bintulu
Naib johan : SM Teknik
Ketiga : SMK Kidurong

Gambar kenangan MTQ 2009 untuk tatapan

Peserta hafazan ( Aidatul Asma ) sedang memperdengarkan bacaan

Penonton yang memeriahkan majlis sewaktu acara hafazan dipertandingkan

Hakim hafazan sedang tekun menjalankan tugas

Para hakim hafazan sedang meneliti bacaan para peserta

Ketua Hakim Hafazan Men/Rendah

Semasa menanti keputusan diumumkan

Ustaz Aftahnizam (ketua jemaah hakim) sedang membuat
ulasan hakim keseluruhan

Ayyub mendapat tempat ke-3 di dalam acara hafazan
sedang menerima piala dari Penolong Pegawai PPD


Selesai sudah MTQ 2009....kita bertemu MTQ 2010 di SK Agama.
Kepada semua peserta agar dapat memperbaiki kualiti persembahan
agar Bintulu menjadi johan keseluruhan pada MTQ peringkat negeri yang akan datang.

Wednesday, April 8, 2009

MP BUKIT GANTANG : DATO' SERI IR HJ MOHD NIZAR JAMALUDDIN

Tuesday, April 7, 2009

KEPUTUSAN PRK 2-1, BERPIHAK KEPADA PR

Keputusan PRK di Parlimen Bkt Gantang, DUN Bukit Selambau & DUN Batang Air


Sebenarnya pada malam ini, saya ada temujanji untuk menziarahi keluarga saudara kita iaitu Abang Aziz yang baru mendapat cahaya mata. Beliau meminta kami ( BIC dan AMAL ) untuk mencukur jambul untuk anaknya yang baru lahir. Apapun saya berharap, meskipun ketiadaan Ku, Ustaz Sardi selaku wakil AMAL dan BIC mampu menyusun atur majlis tersebut. Minta maaf pada rakan-rakan dan tuan rumah ( Abang Aziz ) kerana tidak dapat hadir untuk bersama-sama pada malam ini. Ini adalah kerana keletihan yang amat sangat. Kerja memerah otak memang amat memenatkan, meskipun jika dilihat pada mata kasar tidak banyak fizikal yang digerakkan, namun tindakbalas otak melesukan seluruh anggota badan. Selepas mengajar mengaji yang bilangannya boleh tahan juga ramainya, saya mengambil sedikit masa untuk merehatkan diri. Selepas lesu hilang sedikit, baru aku mengagahkan diri untuk menyambung kerja-kerja yang masih belum siap sambil mendengar keputusan siaran langsung keputusan PRK di internet.

Setakat aku menaip pada waktu ini, keputusan rasmi adalah 1-1 yang mana PR menang di Parlimen Bukt Gantang, Perak dan BN menang di DUN Batang Ai Sarawak. Tinggal lagi masih menunggu keputusan rasmi dari DUN Bukit Selambau, Kedah. Walaupun keputusan Bukit Selambau belum diumumkan secara rasmi, namun keputusan dari kiraan peti undi berpihak kepada calon PKR. Tahniah kepada mereka yang terpilih menjadi wakil rakyat. Laksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat dengan sebaik mungkin. Amanah yang dipikul ini amat besar yang nanti akan ditanya tentang kepimpinan oleh Allah, di akhirat nanti.

Cuma aku ingin mengulas sikit tentang keputusan PRK Parlimen Bukit Gantang. Sempat juga aku melihat siaran langsung dari Astro Awani 501. Tertarik dengan ulasan panelis yang terdiri daripada professor di universiti terpilih yang mengatakan kemenangan Ir Hj Nizar ada beberapa faktor, antara yang saya sempat catat ialah :
1) Krisis rampas kuasa di Perak
2) Media terlalu pro kepada sebelah pihak
3) Kewujudan blogger sebagai alternatif berita
4) Projek pembangunan segera yang tidak mempengaruhi pengundi
seharusnya projek pembangunan harus berterusan.
5) Penonjolan calon. Calon PR sudah dikenali terutama selepas rampasan kuasa,
berbeza dengan calon BN hanya diketengahkan selepas pengumuman calon.

Apa yang ingin saya katakan, kemenangan PR di Bukit Gantang adalah referundum ( pungutan suara ) sebagai membantah rampasan kuasa yang berlaku di Perak. Pada masa yang sama, ianya menguji kepemimpinan Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin sebagai pengarah jentera pilihanraya untuk BN Perak.

CALON Barisan Nasional N29 DUN Batang Air, Malcolm Mussen Lamoh
di julang oleh penyokongnya setelah keputusan undi memihak kepadanya

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengangkat tangan
S Manikumar mengisytiharkan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)
di Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Sungai Petani

DATUK Seri Nizar Jamaluddin mengangkat tangan
selepas di istiharkan menang pada Pilihanraya Kecil
Parlimen Bukit Gantang yang diumumkan oleh
Pegawai Pengurus Pilihanraya Kecil Bukit Gantang,
Datuk Mahmod Morsidi (kanan) di Dewan Bandaran Taiping.

Monday, April 6, 2009

SELAMAT MENGUNDI

Esok tumpuan rakyat Malaysia semestinya di 3 kawasan PRK. Di Perak, Parlimen Bukit Gantang, Calon PAS ditentang oleh calon Barisan Nasional, di Kedah Dun Bukit Selambau calon PKR di tentang oleh calon BN dan 13 calon bebas yang lain. Manakala di Sarawak Dun Batang Ai, Calon PKR di tentang oleh calon BN.

Pada ketika saya menaip ini, saya jangka suasana panas menyelubungi di 3 kawasan yang akan membuka peti undi seawal jam 8 pagi esok. Tempoh berkempen hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi. Sudah tentu jentera petugas PR sedang menyiapkan strategi masing-masing di dalam memastikan calon pilihan memenangi PRK esok hari.

Saya pernah juga berpengalaman bertugas sebagai jentera PRU tahun 1999. Sangat meriah suasana, lebih kurang macam malam raya. Orang tak tidur waktu malam macam ini, sibuk berkawal di post masing-masing, mana tahu ada bawa kertas undi palsu atau sebagainya.

Kini saya tidak terlibat lagi sebagai jentera PR. Saya kini terlibat sebagai Petugas SPR. Pengalaman 2 kali mengendalikan PRU pada 2008 dan PR Negeri pada tahun 2006 memang sangat memberi pengalaman kepada diri ini yang amat dahagakan ilmu dan pengalaman yang berharga.

Apapun siapa kita kini, kita punya tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai hamba Allah yang menumpang di bumi yang sementara ini. Selamat mengundi untuk mereka yang terlibat, undilah dikalangan mereka yang layak memimpin kita. Pilihan di tangan anda, tentukan pemimpin yang menjamin masa depan kita dan seluruh generasi kita.

Friday, April 3, 2009

TAHNIAH UMMU IERFAN

Rakan-rakan Ummu Ierfan, bergambar kenangan selepas menerima APC

Posting ini merupakan yang pertama untuk bulan April. Aku harap, aku akan terus istiqamah di dalam menulis dan menyampaikan berita. Minggu ini adalah minggu yang paling sibuk. Bermula dengan mesyuarat ketua hakim MTQ, Kursus hakim MTQ, Pelancaran Dana Ulu Kota, mesyuarat JAKSA dan Kem Bestari Solat. Semua ini adalah kerana kebersediaan ku di dalam melaksanakan semua tugasan. Kalau difikirkan, memang sampai nak migrain. Apapun, berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Insyaallah, niatkan ikhlas kerana Allah.

Tahniah untuk umi, kerana dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) setelah 4 tahun berkhidmat sebagai guru di Sek Men Assyakirin. Majlis yang diadakan di Auditorium BDA pada 30 Mac 2009 yang lalu, telah disampaikan oleh pengarah pelajaran Sarawak. Anugerah ini menjadi motivasi dan sandaran untuk mempertingkatkan lagi usaha ke arah yang lebih baik. Satu pengiktirafan untuk umi. Teruskan usaha.

Umi adalah seorang yang cekal dan gigih, selama 4 tahun berkhidmat di SMK Assyakirin banyak yang dah dilakukan. Selama 4 tahun juga umi memegang jawatan sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam. Ini adalah disebabkan, GPI tidak ramai. Sekolah yang baru beroperasi selama 5 tahun itu hanya mempunyai 2 hingga 3 orang guru pendidikan Islam. Jadi memang tidak hairan kalau umi memegang jawatan itu. Guru Pendidikan islam yang lain, kalau adapun setakat bertahan 1-2 tahun, selepas itu mereka akan berpindah. Mungkin atas sebab itu, pengetua mahu jawatan KP ini dipegang oleh orang yang tak nak bertukar lagi ( macam umi ). hehehe.

Tahniah dai abi dan Ierfan, semoga umi akan berjaya menjadi guru yang cemerlang yang mendidik anak bangsa dengan ikhlas dan juga menjadi isteri dan ibu yang cemerlang. Terus istiqamah wahai isteriku ...NOOR HASLINA...

Ummu Ierfan sedang menerima APC


 

Labels

About This Blog

Labels

Labels

Powered By Blogger

Labels