Monday, August 24, 2009

Berita lewat : Majlis perpisahan Ustaz Ahmad Muzakkir

Sumbangan dari BIC kepada Ustaz Ahmad Muzakkir yang telah
disampaikan oleh Ustaz Salehuddin Abu Samah, penasihat BIC

BIC telah mengadakan majlis Iftar dan perpisahan dengan Ustaz Muzakkir yang terpaksa pulang semula ke Mesir di atas urusan pembelajaran yang masih belum selesai. Beliau terpaksa mengambil semula subjek yang diarahkan oleh pihak universiti untuk memastikan beliau dianugerahkan ijazah dari Universiti Al - Azhar. Beliau telah pulang ke Kelantan pada 22 Ogos yang lepas dan terus ke Mesir pada keesokkan harinya dengan menggunakan Egypt Air.

Jasa dan sumbangan beliau bersama BIC amat sukar untuk dinilai dan diukur. Beliau seorang yang amat komited dengan kerja. Mudah-mudahan beliau akan dipermudahkan segala urusan dan mendapat kejayaan di dalam peperiksaan yang akan beliau hadapi pada 4 September akan datang.

Pihak BIC mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama MACMA yang bersama-sama menganjurkan program tersebut. Insyaallah pada 29 Ogos dan 2 September yang akan datang kita sekali lagi akan bersama-sama berbuka puasa bersama imam dari Negara China.

Program pada malam itu dipengerusikan oleh Abu Ierfan

Ustaz Ahmad Muzakkir menyampaikan tazkirah pada malam itu

Sebahagian jamaah yang hadir di Surau MACMA

Ibu-ibu juga bersama-sama menjayakan majlis pada malam itu

Sunday, August 16, 2009

Forum di ambang Ramadhan 1430H

Dimulai dengan bacaan al-Quran oleh adik Aufa
Binti Abd Rahim dari SK Orang Kaya Mohammad

Alhamdulillah, pihak penganjur mengucap syukur kepada Allah atas kejayaan Forum Perdana bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak. Antara objektif dianjurkan program ini ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kedatangan Bulan Ramadhan yang ditunggu-tunggu oleh mereka, yang mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah. Bagi mereka yang belum selesai membayar puasa ganti harus segera berbuat demikian, kerana bulan Syaaban hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Abu Ierfan bersama keluarga dan beberapa sahabat lain turut serta mengurus atur perjalanan program pada malam tadi. Pengalaman kerjasama dengan JKTAIB sangat memberi makna kerana memudahkan segala urusan. Terima kasih kepada mereka yang membantu. Insya Allah akan dilaksanakan lagi program yang sedemikian pada masa akan datang.

Barisan ahli panel sebelum bermula forum

Ahli panel sedang mengulas tajuk yang diberikan oleh pihak penganjur

Barisan ahli panel cilik sedang berforum, Ierfan bersongkok ditengah

Duta rasmi produk tok guru

Thursday, August 13, 2009

Ustaz Asri Ibrahim ( Rabbani ) pergi tak kembali

Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim, yang telah ke rahmatullah tengahari tadi.

Sms dari Amat Banjar yang mengatakan Ust Asri meninggal dunia pagi tadi di RTM. Terkejut juga saya. Saya amat meminati lagu-lagu beliau. Apa pun sudah ketentuan takdir ilahi, sudah sampai masa akan dijemput oleh Allah, tidak didahulukan dan tidak dilambatkan. Takziah pada keluarga allahyarham, semoga Allah meletakkan beliau di kalangan orang-orang yang soleh.

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…

- Asri Ibrahim- dari blog Allahyarham



PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi



Sumber lain yang berkaitan boleh dibaca di sini :

Ketua kumpulan Rabbani, Asri meninggal dunia
Asri Rabbani jatuh dan meninnggal dunia
Asri Rabbani mati mengejut
Asri Rabbani meninggal dunia

Wednesday, August 12, 2009

Ziarah Dakwah AMAL ke Ulu Segan



Abu Ierfan berpeluang pada hari Ahad yang lepas mengikuti program AMAL untuk menyumbang bantuan kepada masyarakat di Ulu Segan yang tergolong di kalangan mereka yang miskin dan sebahagiannya adalah mualaf yang perlu perhatian.

Moga-moga gambar di atas memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita yang telah diberikan nikmat oleh Allah dengan nikmat yang melimpah ruah. Kepada pembaca blog ini yang sudi untuk menyumbang, boleh berhubung dengan Abu Ierfan. Insyallah, saya akan uruskan.

Tuesday, August 11, 2009

Che' Det bersama Ierfan

Hari ini kami diziarahi oleh Che' Det yang datang ke Bintulu atas urusan kerja. Che' Det ialah biras Abu Ierfan dan pakcik kepada Ierfan. Isterinya adalah kakak Ummu Ierfan. Kami mengambil beliau di Hotel Regency dan membawa ke rumah kami di Kidurong. Tapi malang sungguh, kami sambut Che' Det dengan ketiadaan kunci rumah untuk masuk. Tak dapat buka pintu rumah jawabnya. Tak ada cara lain terpaksa pecah. Mujur dapat juga buka tanpa ketuk dan pecah. Alhamdulillah, dengan izin Allah.

Che' Det memang pandai layan anak-anak. Walaupun hanya seketika, Ierfan dah mesra dengan Che' Det. Macam-macam Che' Det layan Ierfan. Selepas solat Maghrib, kami membawa Che' Det makan dan terus hantar Che' Det ke Hotel, tempat penginapannya. Walaupun pertemuan singkat, tapi cukup bermakna kepada kami, terutama Ierfan, kerana di dalam kejauhan, sesekali saudara mara datang...seronok rasanya. Che' Det kata, dia akan sentiasa datang ke Bintulu, dia di dalam projek pembinaan landasan keretapi antara Tanjung Manis-Mukah-Bintulu. Terima kasih untuk Che' Det atas ziarah ini, nanti senang-senang datang lagi bawa Deja sekali.

Che' Det tengah layan Ierfan

Ierfan dah mesra dengan Che' Det

Makan malam di Kampung Assyakirin

Wednesday, August 5, 2009

Abi mahu Ierfan ikut jejak langkah Abang Muhammad

Pagi ini terbaca artikel dari majalah Kawan keluaran Bulan Ogos. Tersentuh melihat pemikiran Muhammad Ahmad Zahid, Qari muda yang baru berusia 14 tahun, yang telah memenangi kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) ke-12 di Dubai pada tahun lalu. Meskipun sebelum ini hanya mendengar alunan bacaan al-Quran daripada kaset di dalam kereta, namun belum ada kesempatan untuk berkenalan dengan qari muda ini. Alhamdulillah pagi ini berkesempatan membaca kisah hidupnya. Saya terus mencari-cari berita beliau di dalam internet.

Seharusnya anak muda ini dijulang sebagai idola anak remaja sekarang. Walaupun berumur 14 tahun, pemikiran Muhammad seolah-olah seperti berumur di usia 20 tahun. Matangnya pemikirannya jika dibandingkan dengan remaja dewasa ini. Bagus sekali kaedah pendidikan ayah dan ibu Muhammad. Di dalam ilmu tarranum, beliau boleh menguasai tujuh jenis tarannum seperti nahawand, bayati, sikah, jiharkah, rast, hijjaz dan soba.

Beliau merupakan anak sulong dari 5 adik beradik. Mula menghafaz al-Quran sejak berumur 7 tahun dan berjaya telah berjaya menghafaz 30 juzuk pada usia 10 tahun. Bagi Muhammad al-Quran itu adalah seni yang indah. Beliau bercita-cita untuk menjadi ulama' profesional. Dengan itu beliau suka membaca buku-buku ilmiah berbanding buku-buku komik.

Muhammad juga tidak melupakan aktiviti beriadah. Beliau mahir di dalam ilmu renang dan di dalam ilmu tekwando beliau memiliki tali pinggang hitam selain ilmu IT yang mantap. Selain itu, saya cukup tersentuh bila disebut beliau suka menderma di masjid-masjid hasil duit kemenangan yang diperolehinya.

Tahniah untuk ibubapa Muhammad Ahmad Zahid, kerana telah melahirkan insan yang cemerlang sebagai pimpinan yang berjiwa ulama'. Insyallah, akan kami turuti jejak langkah kalian dan doakan Ierfan mampu mengikut jejak langkahmu wahai Muhammad Ahmad Zahid.



" Terus ISTIQAMAH mendokong ISLAM "

Tuesday, August 4, 2009

Guru Islam melayu makan b*b* di Kapit, Sarawak

Mastika keluaran Bulan Ogos

Saya serba salah juga untuk mengulas perkara ini, namun atas dasar peringatan dan makluman kepada rakan-rakan, perlu juga saya sampaikan perkara ini. Sejak akhir-akhir ini guru - guru luar yang diimport ke Sarawak sering membawa masalah kepada sektor pendidikan. Yang terbaru ialah guru Islam makan b*b* di Kapit. Kapit ialah sebuah penempatan yang tidak dapat menghubungkan jalan darat antara bahagian lain. Kena melalui jalan sungai untuk beberapa jam. Setakat 5 tahun saya tinggal disini, belum ada kesempatan berkunjung ke Kapit.

Saya terkejut juga apabila membaca Mastika keluaran Ogos yang menyebut sebagaimana tajuk di atas. Teruk sangat ke kawasan itu atau susah sangat nak cari makanan halal. Kalau ikut cerita cikgu tu, ayam atau daging sangat mahal. Hanya b*b* aja yang murah. Kata kwn saya sekilo RM10.

Malu saya pada cikgu tu. Begini ke akhlak seorang guru yang diharap menjadi pembimbing dan pendidik kepada masyarakat. Bukan hanya diletakkan tugas ini kepada para ustaz sahaja. Sebagai orang Islam kita sedia maklum, Allah telah mengharamkan khinzir dan seluruh keturunannya. Takkan cikgu tu tak tau. Dah sampai mudharat sangat ker, kalau tak makan b*b* boleh mati ke?

Kita mengharapkan cikgu itu balik ke pangkal jalan, ingat dan bertaubat, Allah ada di mana-mana, sedikit pun tidak akan terlepas dari pemerhatian Allah. Kepada pembaca semua, untuk membaca lebih terperinci lagi cerita tersebut, boleh membaca Mastika keluaran Ogos 2009.

" Terus ISTIQAMAH mendokong ISLAM "

Sunday, August 2, 2009

Kem Muhibbah SK OKM 2009

 

Labels

About This Blog

Labels

Labels

Powered By Blogger

Labels